Haiwan Peliharaan Individu Positif Covid-19 Juga Perlu Dikuarantin

Haiwan peliharaan milik individu yang disahkan positif COVID-19 perlu diasingkan dan dikuarantin selama 14 hari, bagi tujuan pemantauan kesihatan.

Dr Farina Mustaffa Kamal, Pensyarah Kanan (Imunologi Veterinar) dan penyelidik penyakit haiwan kesayangan, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia  berkata, penjaga perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah untuk tindakan susulan sekiranya haiwan tersebut menunjukkan sebarang masalah kesihatan dalam tempoh itu.

Katanya biarpun tiada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan jangkitan COVID-19, namun ia boleh dijangkiti penyakit itu, seperti dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

Dua kes jangkitan COVID-19 melibatkan haiwan peliharaan, iaitu kucing dan anjing telah dilaporkan di Belgium dan Hong Kong dengan berpunca daripada pemiliknya positif wabak itu. Jadi, haiwan peliharaan ini disyaki terjangkit daripada kontak rapat individu positif COVID-19, melalui ciuman, pelukan atau pengendalian haiwan, tanpa membasuh tangan.

Bagaimanapun Dr Farina berkata, setakat ini kes jangkitan ke atas haiwan peliharaan adalah amat terpencil dan tiada maklumat jelas mengenai simptom haiwan dijangkiti COVID-19, malah kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang tanda.

“Hanya kes seekor kucing di Belgium yang menunjukkan simptom masalah pernafasan, cirit-birit dan muntah. Namun perlu diingatkan, terdapat agen virus atau bakteria lain yang boleh menyebabkan simptom yang sama pada haiwan,” katanya.

Cekidot!  Permohonan Geran Khas Prihatin IKS Berjumlah RM3000

Sehubungan itu, beliau menegaskan lebih baik jika langkah kuarantin dan pengasingan diri daripada haiwan peliharaan dilakukan lebih awal, sebaik pemilik menyedari diri mereka mempunyai simptom dijangkiti COVID-19.

“Jika waktu itu tiada orang lain yang boleh mengendalikan haiwan milik anda, anda perlu memakai penutup muka serta sarung tangan ketika memberi makanan dan minum, membersihkan sangkar dan najis haiwan peliharaan terbabit,” katanya.

Tambah Dr Farina, tiada bukti jelas ada spesis haiwan tertentu yang lebih mudah dijangkiti secara semula jadi, namun menegaskan dalam situasi negara dilanda pandemik COVID-19 ini, pemilik amat digalakkan mengurung haiwan peliharaan di dalam rumah.

KOMEN FACEBOOK

TINGGALKAN KOMEN

Masukkan komen anda!
Masukkan nama anda

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.