Booking.com

Senarai Bantuan Kerajaan Untuk Rakyat Terjejas Dengan Covid19

Berikut dikongsikan senarai bantuan kerajaan untuk rakyat yang terjejas dengan Covid19 terutama apabila PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Apa yang dikongsikan adalah bantuan rasmi seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

1. Bantuan Bagi Pekerja Yang Terpaksa Cuti Tanpa Gaji

Bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan akan diberikan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji susulan penularan wabak Covid-19.

Pekerja yang layak menerima bantuan ini adalah pekerja yang diberi notis kerja tanpa gaji mulai 1 Mac 2020. Penerima bantuan ini juga layak untuk mencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan.

Seramai 33,000 pekerja disasarkan menerima faedah tersebut dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.

2. Bantuan Kepada B40 Yang Menerima BSH

Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan pada 27 Februari 2020 melibatkan pembayaran BSH 2020 fasa 2 sebanyak RM200 yang dijangka pada Mei 2020 telah diawalkan bayaran pada 16 Mac 2020.

Penerima BSH 2020 juga akan menerima bantuan tambahan RM100 yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank yang didaftarkan dan juga e-tunai sebanyak RM50 yang akan disalurkan pada Mei 2020.

3. Diskaun Penggunaan Elektrik

Diskaun sementara selama enam bulan sebanyak 15% daripada bil elektrik secara bulanan bagi agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli belah, pusat konvensyen dan pameran diperuntukkan mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020.

Diskaun caj elektrik juga diberikan kepada pengguna dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik sebanyak 2% untuk tempoh 6 bulan bermula 1 April 2020.

4. Pemberian Kontrak Bagi Kontraktor Kerajaan

Projek-projek kecil seperti kerja penyelenggara dan pembaikan infrastruktur kecil seluruh negara terutamanya di luar bandar bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam PRE2020 oleh PM7 akan mula dilaksanakan pada bulan April 2020.

Proses pemberian kontrak akan dipercepatkan bagi membantu kontraktor kerajaan.

5. Bantuan Khas Covid-19 RM100 Sehari (NADMA)

Bayaran sebanyak RM100 sehari diberikan kepada warganegara Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan / tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian kerana mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 atau diri sendiri menjalani rawatan di wad hospital (warded) ekoran COVID-19.

Cekidot!  Jangan Tertipu Mesej Penipuan Kononnya Dari LHDN Berkenaan Bantuan Prihatin Nasional Yang Meminta Maklumat Peribadi

Bagi mereka yang tidak bekerja sebelum dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ataupun menerima gaji sepanjang tempoh Pengawasan dan Pemerhatian / menjalani rawatan di wad hospital (warded) disebabkan COVID-19.

Bantuan ini hanya diberikan sekali sahaja (one-off payment) dan tidak akan diberikan bagi kes berulang. Permohonan hendaklah dibuat dengan menlengkapkan borang dan dipos ke NADMA.

6. Pengurangan Kadar Caruman Minimum KWSP

Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sebanyak 4% daripada 11% kepada 7%.

Kadar caruman baharu ini akan berkuatkuasa mulai upah bulan April 2020 (caruman Mei 2020) sehingga upah pekerja bulan Disember 2020 (caruman Januari 2021).

Walau bagaimanapun, bagi pekerja yang ingin mengekalkan caruman pada kadar 11% boleh berbuat demikian dengan melengkapkan Borang KWSP17A (Khas 2020) dan dikemukakan kepada KWSP melalui majikan masing-masing.

7. Bayaran One-off RM600 Kepada Pemandu Teksi, Bas Persiaran, Pemandu Pelancong dan Penarik Beca

Kerajaan menyediakan insentif tunai secara sekali bayaran berjumlah RM600 pada bulan April 2020 kepada setiap pemandu teksi, bas pelancongan, pemandu pelancong serta penarik beca yang aktif dan berdaftar pada 31 Disember 2019.

Insentif ini akan memanfaatkan hampir 29,000 pemandu teksi, 6,000 pemandu bas pelancongan dan 17,000 pemandu pelancong dan penarik beca.

8. Elaun Khas Penjawat Awam Terlibat Tangani Covid19

Penjawat awam yang secara langsung terdedah kepada risiko koronavirus ketika menjalankan tugas akan diberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan bagi doktor dan kakitangan perubatan lain.

Elaun bulanan RM200 turut diberikan kepada kakitangan lain termasuk pegawai imigresen di pintu masuk yang terlibat secara langsung membendung wabak ini.

9. Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

PTPTN memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada semua peminjam secara automatik bermula 19 Mac 2020 hingga 30 September 2020.

Potongan gaji atau direct debit turut ditangguhkan tetapi bagi peminjam yang ingin meneruskan potongan gaji/direct debit, permohonan boleh dibuat melalui Portal PTPTN (seperti pautan di bawah) mulai 23 Mac 2020 hingga 15 April 2020.

Cekidot!  Duduk Di Rumah Dan Bantu Ekonomi Dengan Berbelanja

10. Penangguhan Pinjaman MARA (Pelajaran Dan Perniagaan)

MARA memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran selama tiga (3) bulan kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan bayaran balik selama tiga bulan. Bagi pembiayaan perniagaan MARA, penagguhan bayaran balik diberikan selama enam (6) bulan dengan syarat tiada tunggakan bayaran lebih daripada dua bulan.

Diskaun khas juga diberikan kepada penyewaan semua premis perniagaan MARA sebanyak 30% dengan syarat tiada tunggakan bayaran lebih daripada dua bulan dan perniagaan terlibat dengan penutupan Perintah Kawalan Pergerakan.

Peminjam dan usahawan MARA yang menepati syarat ditetapkan dan layak perlu mengemukakan permohonan bagi penjadualan semula bayaran di pejabat MARA berhampiran bermula 1 April 2020.

11. Pengeluaran Akaun 2 KWSP RM500 Sebulan

Kerajaan telah mengumumkan kemudahan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi semua ahli yang berumur 55 tahun ke bawah dengan kadar Maksimum pengeluaran adalah RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

12. Pengecualian Yuran Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan

Kerajaan telah mengumumkan pengecualian yuran Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan seluruh negara bagi tempoh Mac hingga Jun.

Pengecualian melibatkan 1,781 buah Tabika Perpaduan (37,855 orang) dan 41 buah Taska Genius Perpaduan (972 orang).

13. Pengecualian Bayaran Sewa PPR

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan pengecualian bayaran sewa sebulan buat 9,185 pemilik unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

PPR yang terlibat adalah PPR Sentul Murni, Rumah Transit Bukit Jalil, PPR Lembah Subang 1, PPR Lembah Subang 2, PPR Kampung Hassan Hulu Selangor, PPR Ladang Siliau Port DIckson, PPR Tok Suboh, PPR Amanjaya, PPR Kota Setar, PPR Sinar Intan 3, PPR Gua Musang dan PPR Kota Bahru.

Cekidot!  Kesemua Ahli Keluarga Doktor Pakar Disahkan Positif Covid19

14. Bantuan RM600 PERKESO

PERKESO melalui program pengekalan pekerjaan (ERP) mereka menyediakan bantuan sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kesan ekonomi akibat COVID-19.

Bantuan ini hanya untuk mereka yang bergaji bulanan RM4,000 ke bawah sahaja termasuk pekerja sambilan yang mencarum SIP.

15. Penangguhan Bayaran Cukai

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), membenarkan penangguhan bayaran anggaran cukai bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020.

Penangguhan itu adalah bagi pembayar cukai di bawah sektor pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan, berikutan kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) untuk menangani impak ekonomi kesan daripada wabak Covid-19.

16. Penangguhan Bayaran Ansuran Bank

Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan pelanggan perbankan, termasuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka, termasuk gadai janji dan sewa beli, untuk tempoh enam bulan.

Moratorium automatik itu akan berkuat kuasa mulai 1 April ini.

17. Bantuan Zakat

Beberapa pusat zakat negeri turut mengumumkan bantuan bagi membantu meringankan beban orang awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.

Antaranya Zakat Selangor dan Perlis.

Peruntukan bantuan khas ini khusus untuk keluarga B40 (contoh: penjaja/peniaga kecil, pekerja dan individu) yang terjejas sumber pendapatan susulan pengumuman PKP pada 18hb Mac 2020, agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh ini.

Tambahan: Bantuan Prihatin Nasional

Kesimpulan

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan penularan wabak penyakit ini dan bantuan disediakan bagi membantu rakyat yang mengalami kesusahan disebabkan wabak penyakit ini.

Namun, kita pula sebagai rakyat haruslah bertanggungjawab dalam memastikan penularan ini berkurangan dengan sentiasa mengikut perintah kerajaan. Semoga penularan ini tidak berpanjangan dan ada jalan penyelesaiannya.

KOMEN FACEBOOK

1 komen

TINGGALKAN KOMEN

Masukkan komen anda!
Masukkan nama anda

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.