Negeri Melaka walaupun kecil di atas peta tetapi merupakan antara destinasi pelancongan di Malaysia yang paling popular. Rata-rata tempat menarik di Melaka lebih signifikan dengan destinasi bersejarah serta keunikan struktur binaan bangunannya.

Hari ini kita lihat semua destinasi percutian popular seperti penginapan, tempat shopping, hiburan keluarga, tempat makan, medan ikan bakar dan sebagainya yang boleh anda lawati kalau anda merancang bercuti di Melaka Negeri Bersejarah.

Bandaraya Melaka diiktiraf oleh UNESCO dan di peringkat antarabangsa sebagai salah satu bandar warisan dunia kerana mempunyai banyak tempat-tempat bersejarah yang tinggi nilainya di samping mempunyai campuran budaya-budaya yang menarik untuk diterokai seperti Peranakan ataupun Baba & Nyonya.

34Melaka Skytrex

Destinasi yang ideal di Melaka untuk anda kunjungi bersama keluarga atau kawan-kawan yang sukakan cabaran yang memerlukan ketahanan fizikal & mental. Ada beberapa pilihan trek perjalanan yang berbeza cabarannya seperti Pahlawan Thrill, Extreme Warrior & Little Dino yang boleh anda pilih dan apa yang pasti kebanyakan aktiviti di sini memang sangat menggayatkan. Walaubagaimanapun kalau anda nak mencuba aktiviti menarik di Skytrex Melaka, ada syarat yang ditetapkan dari segi fizikal, iaitu berat badan tidak boleh melebihi 100kg & ketinggian mesti lebih 140cm. Dan sesudah membeli tiket anda perlu berada di sini sekurang-kurangnya 30 minit sebelum aktiviti dimulakan. Melaka Skytrex sangat sesuai sebagai destinasi untuk mereka yang ingin menganjurkan team building atau hari keluarga dengan aktiviti menarik bersama rakan sepejabat.

Lokasi: Taman Botani Ayer Keroh, 75450 Durian Tunggal, Melaka, Malaysia
Operasi: 9.00 am (perlepasan terawal) – 3.00 pm (perlepasan terakhir)

33Menara Taming Sari Melaka

Kalau pertama kali bercuti di Melaka destinasi ini wajib anda terjah bersama anak-anak. Satu tempat menarik di Melaka yang terletak di Bandar Hilir Melaka & mudah dicari. Pengunjung berpeluang menaiki menara ini dengan dek berkaca tertutup yang akan naik ke atas dan berpusing berterusan secara perlahan 360 darjah. Dari puncak menara yang setinggi 80 meter ini anda dapat melihat majoriti tarikan pelancongan yang ada di sekitar Bandar Hilir Melaka seperti Muzium Samudera, Dataran Pahlawan, Bukit St John, Pulau Melaka, Masjid Pulau Selat dan sebagainya. Waktu paling best untuk mencuba adalah waktu petang kerana berpeluang melihat keindahan panorama matahari terbenam atau pada waktu malam dengan keindahan neon warna-warni yang menghiasi Bandar Melaka.

Lokasi: Jalan Merdeka, Bandar Hilir, 75000 Melaka
Operasi: 11 am – 10 pm
Hubungi: 06-2881100

32Muzium Kapal Selam

Salah satu muzium di Melaka yang pasti membuatkan anak-anak tidak sabar untuk lawati. Kapal selam yang terletak di Pantai Klebang dan saiz yang besar ini dibina pada tahun 1979 namun setelah tamat beroperasi kini dijadikan muzium untuk lawatan orang ramai. Anda pasti terkejut bila melangkah masuk ke dalam kerana saiz laluan yang agak sendat. Waktu cuti memang ramai dan sesak di dalam tetapi mujurlah ada sistem penghawa dingin yang baik. Bunyi siren di dalam muzium ini pasti memberi anda satu pengalaman yang baru yang hanya ada di negeri Melaka.

Lokasi: Klebang, Melaka
Operasi: Isnin – Khamis: 9.00 am – 5.00 pm | Jumaat – Ahad: 9.00 am – 6.30 pm
Harga Tiket: RM 5 (dewasa) | RM 2 (kanak-kanak) | Percuma (kanak-kanak <6 tahun)

31Melaka River Cruise

Satu lagi aktiviti wajib bagi pelancong yang datang bercuti ke Melaka adalah menyusuri Sungai Melaka untuk melihat keindahan kota Melaya dari sebuah bot. Waktu terbaik untuk menaiki bot ialah pada waktu malam kerana kurang panas dan pemandangan di sepanjang sungai juga lebih menarik kerana hiasan lampu-lampu neon yang berwarna-warni. Satu alternatif yang unik untuk menikmati keindahan bandaraya Melaka bagi mereka yang mungkin malas nak berjalan kaki atau menaiki beca roda tiga.

Lokasi: Jalan Laksamana, Melaka
Operasi: Setiap hari 9.00 am – 11.00 pm
Harga Tiket:

  • Isnin-Khamis: RM 10.60 (dewasa >12 tahun) | RM 5.30 (kanak-kanak 2-12 tahun) | Percuma (<2 tahun)
  • Jumaat-Sabtu/Cuti am:/ RM 15.90 (dewasa) | RM 5.30 (kanak-kanak 2-12 tahun) | Percuma (<2 tahun)

30Masjid Selat Melaka

Satu mercu tanda baru yang menjadi kebanggaan orang Melaka yang terletak di Pulau Melaka. Lokasi masjid yang betul-betul mengadap Selat Melaka pasti memberi pengalaman menunaikan solat di sini yang berlainan dengan bayu laut yang sentiasa bertiup menyejukkan suasana dalam masjid. Turut dikenali sebagai Masjid Terapung Melaka, senibina unik & pemandangan menarik pada waktu senja membuatkan destinasi ini sering menjadi kunjungan pelancong & kaki kamera untuk bergambar.

Lokasi: Garden City 8-Storey Apartment, Jalan Merdeka, Taman Pulau Melaka

29Taman Rekreasi Air Panas Jasin

Satu tempat mandi mandi di Melaka yang sangat ideal untuk mereka yang suka berendam di dalam kolam air panas semulajadi untuk tujuan kesihatan kulit. Jasin Hot Spring ini terletak di Kampung Air Panas, Bemban, Jasin dan berjarak 20 km dari Bandar Melaka. Kemudahan di sini lengkap untuk pengunjung seperti bangsal, taman tema air mini kanak-kanak dan tempat parking kereta. Yang paling penting kolam air panas di sini terjaga dan bersih serta anda boleh datang bersuka ria ke sini sehingga waktu malam pada hujung minggu.

Lokasi: Kg Air Panas, Bemban, Melaka
Operasi: Isnin ( 3 pm-12 am) | Selasa – Khamis & Ahad ( 9 am – 12 am) | Jumaat &
Sabtu ( 9 am – 2 am)
Harga Tiket: RM 6.50 (dewasa) | RM 3.50 (kanak-kanak)

28Taman Tema Air A’Famosa Resort

Mempunyai banyak pilihan gelongsor air yang mencabar dan sesuai untuk golongan kanak-kanak dan dewasa. Salah satu tarikan yang paling teruja untuk golongan muda sudah tentu high speed water slide yang merupakan gelongsor air yang tinggi dan curam yang pasti memberi ledakan adrenalin yang maksimum. Tarikan selain taman tema air juga ada seperti Safari Wonderland & juga aktiviti-aktiviti outdoor yang sesuai untuk dijadikan sebahagian daripada aktiviti team building. Memandangkan tarikan aktiviti berkeluarga di sini memang banyak untuk diterokai & mungkin memerlukan masa lebih sehari, maka sebaiknya anda menginap di resort ini dengan pelbagai pilihan bilik hotel yang menarik.

Cekidot!  Plot Sawit Melaka, Bercuti Di Tengah Ladang Kelapa Sawit

Lokasi: Jalan Kemus, Simpang Empat, Melaka, Alor Gajah
Operasi: 9.00 am – 5.00 pm
Hubungi: 06-5520969

27Melaka Wonderland Theme Park & Resort

Destinasi percutian keluarga yang sangat ideal juga untuk mereka yang ingin bermalam di resort menarik di Melaka sambil melakukan aktiviti permainan air. Taman tema air di sini mempunyai banyak gelongsor air untuk semua peringkat umur seperti tornado chaser, kamikaze race, adventure island dan wave pool. Terletak di Hang Tuah Jaya, MITC Ayer Keroh, Melaka. Samaada anda bercuti di Melaka dengan anak-anak kecil atau remaja, Melaka Wonderland Theme Park adalah satu destinasi yang wajib anda buat pertimbangan untuk dilawati.

Lokasi: Lot PT17178, Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh, Melaka
Operasi: 9.00 am – 5.00 pm
Hubungi: 06-2313333

26Pantai Klebang Melaka

Destinasi tarikan pelancongan pantai yang paling popular dan lokasinya juga tidak jauh dari Bandar Hilir Melaka. Pantai ini mempunyai pesisiran pantai berpasir yang lapang dan luas. Sering menjadi kunjungan orang ramai baik untuk riadah pagi/petang atau sekadar lepak-lepak bersama kawan-kawan. Klebang juga terkenal dengan minuman santai coconut shake Klebang dan lokasi sebenar Klebang Original Coconut Shake yang sering menjadi bualan mulut orang terletak hanya 3-4 km dari kawasan Pantai Klebang. Beberapa kilometer dari sini juga terdapat beberapa destinasi tempat makan best yang menyajikan makanan popular Melaka seperti asam pedas & juga cendol bakar. Sesuai untuk anda terjah makan petang atau malam selepas penat beriadah di Pantai Klebang.

Lokasi: Pantai Klebang Melaka

25Galeri Rumah Terbalik di Melaka

Kalau anda ada anak-anak kecil, bolehlah bawa mereka ke sini untuk merangsang sel-sel otak mereka supaya lebih berhubung. Mana taknya kerana setiap susunan perkakasan di dalam galeri di sini semuanya dalam keadaan tunggang terbalik. Sesuai untuk lawatan bersama rakan-rakan dan keluarga untuk menghabiskan masa berkualiti bersama.

Lokasi: G12 & G14, Jalan PM 7, Plaza Mahkota, Bandar Hilir Melaka
Operasi: 9 am-7 pm (Isnin-Khamis) | 9 am – 9 pm ( Jumaat-Ahad)
Harga Tiket: RM 15 (dewasa) | RM 10 (kanak-kanak)

24Melaka River Pirate Park

Satu tempat menarik di Melaka pada waktu malam yang sangat popular dan destinasi ini merupakan sebuah taman tema yang ada di tepi Sungai Melaka yang menempatkan beberapa permainan menarik seperti Ferris Wheel, Flying Fox, Pirate Ship, Rock Climbing, Bungee Trampoline, Mad Cow dan Haunted Castle. Sesudah menikmati makan malam bolehlah pula singgah di sini untuk menghabiskan waktu malam anda di Melaka. Harga tiket di sini bukannya sekali masuk, tetapi dikenakan atas setiap permainan yang disediakan & harganya memang mampu milik di antara RM5 – RM10.

Lokasi: Jalan Laksamana, Melaka
Operasi: 5.00 pm – 12 am ( setiap hari)
Harga Tiket Setiap Permainan: RM5.30-10.60 (dewasa) | RM3.20-RM 5.30 (kanak-kanak)

23Bayou Lagoon Park Resort

Resort yang menawarkan tarikan taman tema air yang mempunyai gelongsor air yang mungkin lebih sesuai untuk golongan kanak-kanak. Sekiranya anda menganjurkan aktiviti berkumpulan seperti team building bolehlah melakukan aktiviti sukaneka air di sini seperti acara giant slipper, ballon race ataupun chopsticck crazy. Lebih mudah jika anda menginap di resort ini. Klik SINI untuk rate penginapan di Bayou Lagoon Resort.

Lokasi: Amari Villa, Bayou Lagoon Park Resort, Jalan Wakaf Utama, Bukit Katil, Melaka
Hubungi: 06-2330888

22Kota A’Famosa

Destinasi yang paling ikonik untuk dilawati kalau bercuti ke Melaka terutamanya untuk mereka yang mempunyai anak yang bersekolah untuk lebih mendekati tentang sejarah Melaka. Binaan kubu berbongkah batu ini yang berusia lebih 500 tahun telah dibina sejak zaman era penjajahan zaman Portugis pada tahun 1511 sebagai kubu pertahanan untuk melawan penentangan penduduk Melaka ketika itu. Terdapat beberapa laras meriam di sekitar kubu ini dan sesuai untuk aktiviti bergambar bersama keluarga.

Lokasi: Jalan Parameswara, Bandar Hilir, Alor Gajah, Melaka
Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma

21Muzium Samudera (Flora de la Mar Maritime Museum)

Aktiviti yang paling teruja di sini sudah tentulah bergambar di dek utama kapal perang ini seperti ala-ala watak Jack Sparrow. Lokasinya terletak tidak jauh dari Jonker Street dan merupakan sebuah replika kapal perang Portugis. Destinasi ini pasti memberi anda satu pengalaman yang unik dengan konsep persembahan penceritaan sejarahnya yang lebih dekat dengan jiwa kanak-kanak. Terdapat pameran-pameran dan replika lain di dalam muzium kapal ini berserta dengan paparan informasi yang lengkap.

Lokasi: (Kapal Flor de La Mar) & Fasa 2 Jalan Quayside, Melaka
Operasi: Isnin – Khamis: 9.00 am – 5.00 pm | Jumaat – Ahad: 9.00 am – 9.00 pm
Harga Tiket: RM 5 (dewasa) | RM 3 (kanak-kanak) | Percuma (kanak-kanak <6 tahun)

20Muzium Istana Kesultanan Melaka

Kalau nak merasa bagaimana berada dalam Istana Melayu lama seperti dalam filem XX Ray II bolehlah ke muzium ini yang merupakan sebuah replika Istana Sultan Melaka pada kurun ke-15. Terdapat pelbagai galeri/balai-balai/balairong yang mempamerkan ciri-ciri & adat-adat Kesultanan Melayu Melaka satu ketika dahulu. Istana kayu ini dibina pada tahun 1984 dan yang menariknya ianya dibina dengan bersendikan pasak kayu yang merupakan satu teknik yang mashur dalam seni pertukangan rumah tradisional Melayu di negeri Melaka. Walaupun nampak seperti istana lama, tetapi dalamnya ada aircond, sesuai untuk anda datang lawati walaupun pada waktu tengahari.

Cekidot!  Rimba Hang Kasturi, Villa Dengan Private Swimming Pool.

Lokasi: Jalan Kota, Bandar Hilir, Melaka
Operasi: Isnin-Ahad: 9.00 pagi – 5.00 petang ( Jumaat 11.45 pagi – 2.45 petang ditutup sementara)
Hubungi: 06-2827464
Harga Tiket: RM 5 (dewasa) | RM 2 (kanak-kanak) | Percuma (kanak-kanak <6 tahun)

19 Zoo Melaka & Night Safari

Destinasi yang paling popular kalau pelancong ingin beramah mesra dengan pelbagai spesis binatang yang dibawa khas baik dari dalam mahupun luar negara. Di sini juga ada persembahan yang mencuit hati terutamanya ketika melihat gelagat burung-burung yang jinak bergurau senda bersama pelatihnya yang diadakan pada setiap hari. Satu lagi aktiviti menarik di sini ialah Safari Tour yang beroperasi setiap malam hujung minggu di mana pengunjung berpeluang melihat binatang-binatang liar pada waktu malam.

Lokasi: Zoo Melaka, Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya, Melaka
Operasi Zoo: 9.00 am – 6.00 pm
Operasi Night Safari: 8.00pm – 11.30 pm ( Sabtu/Ahad/Cuti am/cuti sekolah)
Hubungi: 06-2324054

18Taman Burung Melaka

Destinasi yang pasti akan menghilangkan segala kusut di minda. Taman burung secara terbuka ini terletak di Taman Botani di Ayer Keroh, Melaka. Konsepnya lebih kurang sama dengan Taman Burung KL di mana pengunjung boleh berinteraksi secara langsung dengan burung-burung yang jinak serta memerhati burung melalui skywalk setinggi 12 meter. Walaupun pilihan burung belaan di sini tidak sebanyak di Taman Burung KL, namun spesis-spesis burung di sini tetap eksotik yang susah untuk dilihat di tempat lain.

Lokasi: Melaka Bird Park, Taman Botanikal, Lebuh Ayer Keroh
Operasi: 9.00 am – 6.00 pm (setiap hari)
Hubungi: 06-2324054
Harga Tiket: RM 17.80 (dewasa) | RM 11.85 (kanak-kanak/warga emas/OKU)

17Taman Rama-Rama & Reptilia

Satu destinasi yang sangat sesuai untuk dilawati oleh pasangan yang sedang berbulan madu di Melaka. Suasananya yang romantis dengan kecantikan rama-rama eksotik di sini di samping bunga-bunga yang berwarna-warni pasti memberi anda satu kenangan bulan madu yang indah. Selain rama-rama, terdapat juga spesis-spesis reptilia seperti ular, buaya, iguana, labah-labah, kura-kura, pelbagai spesis ikan, serangga dan sebagainya. Tarikan yang paling menggerunkan di sini ialah terdapat sebuah bilik yang menempatkan ular-ular pada pokok yang hanya di atas kepala anda.

Lokasi: Lebuh Ayer Keroh, Ayer Keroh, Melaka
Operasi: 8.30 am – 9.30 pm
Hubungi: 06-2320033
Harga Tiket: RM 22 (dewasa) | RM 16 (kanak-kanak 3-12 tahun)

16Taman Buaya Melaka

Satu lagi destinasi yang menyeronokkan untuk kanak-kanak melihat dengan lebih dekat tarikan utama di sini iaitu taman buaya dan yang paling mendebarkan sudah tentu menyaksikan pertunjukkan aksi berani pelatih bersama buaya-buaya di sini. Selain itu, di sini juga menempatkan beberapa tarikan lain seperti mini zoo & taman rekreasi air. Kalau anda bercuti di sekitar Ayer Keroh, Melaka bolehlah singgah di sini.

Lokasi: Lebuh Ayer Keroh, Melaka
Operasi: 9.00 am – 6.00 pm
Hubungi: 06-2322350
Harga Tiket:

  • Hari biasa: RM 15 (dewasa) | RM 10 (kanak-kanak 5- 12 tahun ) | RM 8 (warga emas > 55 tahun)
  • Hujung minggu / Cuti umum: RM 18 (dewasa) | RM 18 (kanak-kanak 5- 12 tahun ) | RM 10 (warga emas > 55 tahun)

15Hutan Rekreasi Sungai Udang

Merupakan sebuah taman rekreasi yang popular di kalangan orang setempat untuk beriadah seperti jogging. Selain itu hutan rekreasi ini juga mempunyai trail untul junggle trekking. Trailnya tidak terlalu mencabar seperti mendaki bukit dan sesuai sekiranya anda sekeluarga ingin merasai suasana masuk hutan berlagukan kicauan unggas dan burung hutan. Kalau anda menganjurkan aktiviti di Melaka secara berkumpulan, bolehlah singgah di sini untuk penuhkan aktiviti waktu pagi / petang untuk lawatan berkumpulan anda.

Lokasi: Sungai Udang, Melaka

14Dataran Pahlawan Megamall Melaka

Sebuah pasaraya yang menempatkan lot kedai yang menawarkan produk kelas pertengahan sehingga yang high end baik pakaian, gajet telefon, aksesori wanita, barangan bayi dan sebagainya. Di sini juga mempunyai banyak restoran serta foodcourt yang sesuai untuk lepak santai bersama keluarga sesudah penat shopping. Terletak hanya bersebelahan dengan Melaka Raya Mall dan Hotel Hatten.

Lokasi: Jalan Merdeka, Bandar Hilir, Melaka
Operasi: 10 am – 10 pm
Hubungi: 06-2812898

13Melaka Alive

Konsep persembahan kebudayaan dan sejarah Melaka yang menggabungkan elemen teater dan teknologi terkini untuk menceritakan kepada penonton tentang sejarah kegemilangan negeri Melaka. Satu lagi tarikan terbaru yang diperkenalkan pada tahun 2015 yang juga boleh di dapati di sini ialah Pirate Adventure. Satu destinasi indoor yang sesuai untuk anda datang bersama dengan anak-anak pada musim cuti sekolah di Melaka. Lokasinya sangat strategik berhadapan dengan Kota A Famosa & anda boleh beli tiket secara walk-in atau online. Melalui pembelian tiket secara online, pengunjung juga akan dapat 20% diskaun daripada harga biasa.

Lokasi: Melaka Alive, Jalan Parameswara, Bandar Hilir, Melaka
Operasi: 10.00 am – 7.00 pm
Hubungi: 03-78777333
Harga Tiket: RM 23 (dewasa) | RM 17 (kanak-kanak 4- 12 tahun) | RM 15 (warga emas >60 tahun)

12Jonker Walk Street

Kalau di KL ada Petaling Street, di Melaka pula ada Jonker Street. Destinasi ini merupakan tempat menarik di Melaka yang unik untuk mencari barangan antik, kraftangan ataupun cenderahati di mana Jonker Walk ini menempatkan deretan gerai ala bazar. Waktu operasi untuk pasar malam di sini hanya pada hujung minggu & kebiasaannya mula meriah dari petang sehingga lewat malam. Bagi muslim mencari makanan halal di sekitar sini memang agak sukar kerana majoriti masyarakat di sini adalah berbangsa Cina.

Lokasi: Jalan Hang Jebat, Melaka
Operasi: 6pm – 12 am (malam minggu)

11Freeport A’Famosa Outlet

Bagi yang ingin mencari barangan berjenama samaada ada fesyen atau gadget peribadi bolehlah ke sini yang merupakan satu shopping mall yang baru dibuka pada tahun 2015. Mall ini menempatkan lebih 70 lot kedai yang menawarkan pilihan barangan dan lebih kepada produk berjenama seperti Playboy, Nike, G2000 dan sebagainya. Ada juga sesetengah pelancong dan masyarakat setempat membandingkan destinasi ini seperti Johor Premium Outlet (JPO) yang menawarkan harga barangan berjenama pada harga yang agak berpatutan.

Cekidot!  Villa Seri Selangor Rumah Agam Besar Kolam Renang Besar

Lokasi: Jalan Kemus, Sempang Ampat, Alor Gajah, Melaka
Operasi: 10 am – 10 pm
Hubungi: 06-5528961

10Mahkota Parade

Boleh dikatakan merupakan pasaraya di Melaka yang paling popular di kalangan penduduk setempat dan pelancong. Di sini menempatkan ratusan lot kedai baik untuk shopping mahupun mencari makan-makan di restoran dan food court di dalamnya. Hiburan untuk keluarga seperti panggung wayang turut ada di sini. Lokasinya juga sangat dekat hanya berjalan kaki dengan beberapa tempat menarik di Melaka yang popular seperti Kota A Famosa, Menara Taming Sari atau Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka.

Lokasi: Mahkota Parade, G8, Jalan Merdeka, Taman Costa Mahkota, Melaka
Operasi: 10 am – 10 pm
Hubungi: 06-2826151

9Melaka Tropical Fruit Farm

Terletak hanya 20 km dari bandaraya Melaka, merupakan sebuah produk agro pelancongan yang popular di Melaka. Kemudahan penginapan juga tersedia dan yang paling best di sini adalah pengalaman untuk ke kebun buah dan merasai kemanisan buah-buahan segar dari ladang. Kalau anda tiada kampung atau dusun buah-buahan, bolehlah ambil peluang untuk membawa anak-anak ke sini bagi mengenali suasana sebuah dusun buah-buahan sambil-sambil memantapkan ilmu alam semulajadi dek sebalik kemodenan teknoogi hari ini. Di sini juga terdapat banyak aktiviti outdoor yang menarik yang boleh dilakukan secara berkumpulan sesuai untuk aktiviti hari keluarga.

Lokasi: Pusat Latihan Pertanian, Sungai Udang, Melaka
Hubungi: 06-3516916

8Pantai Tanjung Bidara

Pantai perkelahan yang terletak hanya beberapa minit dari Bandar Masjid Tanah. Mempunyai permukaan pantai yang landai dan kemudahan awam yang lengkap. Dikelilingi dengan perkampungan nelayan yang kaya dengan sumber laut yang segar dan sering menjadi tumpuan penduduk untuk mendapatkan hasil laut segar. Tidak hairanlah medan-medan ikan bakar di Melaka sangat popular dengan kesedapannya dan juga kesegaran makanan lautnya. Di sini juga ada resort & penginapan menarik untuk anda yang nak bermalam di tepi pantai di Melaka seperti Tanjung Bidara Beach Resort, ELshape Holiday Home, Anggerik Residence dan Pengkalan Hotel.

Lokasi: Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka

7Muzium Kastam Melaka

Muzium yang bertempat di bangunan yang pernah menjadi gudang simpanan dagangan British ini menempatkan pelbagai informasi menarik tentang sejarah & dunia Kastam Malaysia. Tarikan yang paling menarik di sini ialah melihat koleksi harta rampasan sejak tahun 50an lagi seperti kulit binatang, senjata antik, keris ukiran ayat Al-Quran & sebagainya. Dan yang  paling best, harga tiket adalah percuma.

Lokasi: Jalan Merdeka, Bandar Hilir, Melaka
Operasi: Isnin – Jumaat: 9.30 am – 5.30 pm | Sabtu-Ahad & Cuti Am: 9.00 am – 6.00 pm
Hubungi: 06-2833924
Harga Tiket: Percuma

6Gereja St John

Gereja lama ini dibina pada tahun 1521 oleh tentera Portugis sebagai tempat ibadah. Lokasinya terletak di atas Bukit St John bersebelahan dengan Kota A Famosa. Binaan bangunan yang hampir 500 tahun usianya ini masih kekal sehingga kini walaupun melalui beberapa fasa peperangan. Pelancong juga boleh melihat pemandangan menarik Bandar Hilir Melaka dari puncak bukit di sini. Sebelum penjajahan Portugis, bukit ini dikenali dengan nama Bukit Melaka dan menjadi tempat Sultan Melaka memerhati keadaan pelabuhan di muara Sungai Melaka.

Lokasi: Jalan Kota, Bandar Hilir, Melaka
Harga Tiket: Percuma

5Muzium Senibina Malaysia

Merupakan salah satu daripada puluhan muzium di Melaka yang berlainan fungsinya di mana destinasi ini menempatkan pelbagai replika rumah lama Melayu yang ada khususnya di Melaka. Destinasi ini lebih tertumpu kepada sejarah seni bina rumah dan perkakasan untuk membina rumah tradisional orang dulu-dulu. Bangunan muzium ini merupakan sebuah bangunan Belanda yang lama dan mempunyai 2 tingkat.

Lokasi: Jalan Kota di antara dataran Studthuys ke Kota A’ Famosa
Operasi: 9.00 am – 5.30 pm setiap hari
Harga Tiket: Percuma

Penginapan Di Melaka

Mencari penginapan menarik di Melaka dan kena dengan bajet masing-masing tidak menjadi halangan kerana Melaka mempunyai banyak pilihan penginapan yang sesuai untuk semua orang, baik hotel bajet, hotel bintang, resort tepi pantai ataupun homestay. Lokasi tumpuan penginapan dengan tarikan pelancongan di Melaka juga tidak jauh dan mudah diakses dengan kereta.

Klik SINI untuk melihat senarai Penginapan Di Melaka

Banyak sungguh destinasi pelancongan yang unik di Melaka baik tenpat bercuti, kawasan bersejarah, resort taman bertema, pilihan makanan yang pelbagai dan sebagainya. Semoga panduan tempat menarik di Melaka yang ringkas ini memberi anda inspirasi untuk bercuti ke negeri bersejarah ini kelak.

Link Penginapan Travel Murah

1IKUT NEGERI

💥 Kedah

💥 Perak

💥 Selangor

💥 Penang

💥 Negeri Sembilan

💥 Melaka

💥 Johor

💥 Pahang

💥 Terengganu

💥 Kelantan

KOMEN FACEBOOK

7 KOMEN

  1. Bulan 3 tahun ini kami akan bercuti lagi di Melaka sambil menghadiri majlis perkahwinan.

    Bagus list lokasi menarik di bandar bersejarah yang tuan buat ni.

    Senang nak rancang masa cuti yang ada untuk sambil menyelam minum airu

TINGGALKAN KOMEN

Masukkan komen anda!
Masukkan nama anda

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.